Salah Faham dalam Dakwah
Nasihat vs Statement
Baru-baru ini Allah datangkan seorang tetamu yang sangat istimewa. Dia dengan gaya bersahaja berkongsi pengalaman hidupnya dengan kami. Saya dapat rasakan sebetulnya, patah-patah kata yang meluncur daripada bibirnya amat luhur dan jujur. Paling terkesan, dia mengajar saya beberapa perkara mengenai dakwah. Unik. Dia mengatakan ada beza antara memberi nasihat dengan memberi pernyataan (statement). Nasihat itulah dakwah. Ingat lagi dengan; ad deenu naaseehah? Menasihati hendaklah dengan sabar, lemah-lembut dan penuh kasih sayang. Kalau sekadar memberitahu dan merasa diri sendiri paling betul, maka itu metode dakwah yang salah. Dia belum melalui mana-mana madrasah tarbiyah (baca: usrah), tetapi pengalaman melalui ujian berpandukan taufiq dan hidayah Tuhan, jelas fikrah Islami telah tertancap dalam hati. Subhanallah! Mahu saja saya mengalirkan air mata, dek perasaan terharu dan malu. Apa sudah saya lakukan sampai hari ini?
Akhlak vs Reputation
Saya jadi teringat dengan pesan seorang ustaz. Hadaf (matlamat) tarbiyyah dan dakwah kita ialah untuk membina peribadi (syakhsiah) muslim, bukannya reputasi. Depan mad`u kita sedaya upaya kelihatan sempurna, di belakang kita tidak pula cuba memperbaiki cacat cela. Aduh! Peringatan dan muhasabah yang besar buat para da`i.
Sabda Rasulullah sallahu `alaihi wasallam:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.”
Nastaghfirullah wa natubu ilaih, banyak lagi yang perlu dipelajari dan diperbaiki. Alhamdulillah setidaknya jika kita sibuk memperbaiki diri sendiri, kita tidak akan tertarik untuk mengorek kekurangan, apa lagi aib orang lain. Allahu musta`an.
Mari dengarkan ini…secebis ingatan, pengubat hati. <3